Monday, February 23, 2015

Sayonara Duhai Memori

21.02.2015

Bagi aku, ini hari yang sama macam minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas, 2 tahun lepas, 4 tahun lepas, yang beza, cuma TARIKH.

Aku rasa kosong, aku perlukan hibernasi dan inspirasi.
__________________________________________________________________________________

Perjalanan aku pulang ke utara kali ini disertai Din, Haslina dan Akmal.
Sebelum memulakan perjalanan, kami bertisu-tisu dengan sahabat2 HAMRA
Tepat jam 11.45 am kami bertolak menaiki kereta, tanda-tanda kami akan melalui hari yang panjang sejak awal lagi ditunjukkan sewaktu kami terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas di Ayer Keroh, ini dimeriahkan lagi sewaktu kami tiba di lebuhraya Seremban.

Setelah melalui Rawang, dalam beberapa minit, penghawa dingin bertukar mengeluarkan haba yang panas.
Bahagian depan kereta kami mula berasap, kami ditakdirkan menaiki kereta Din hanya sehingga di Tanjung Malim. Selepas itu bermulalah episod-episod pengembaraan kami yang sebenar ke bumi jelapang padi.


Kami bersyukur ditemukan dengan seorang mekanik yang akhirnya membantu kami untuk menarik kereta ke bengkel berdekatan, dalam jarak 1 kilometer dari plaza tol Tg. Malim. Sebelum itu kami menunaikan solat Qasar dan Jamak di tol tersebut.

Pada mulanya, kes pam air yang perlu diganti hanya perlu mengambil masa 2 jam untuk dibaiki.
Setelah menjalani post-mortem, motokar kesayangan Din, perlu penjagaan yang lebih intensif. Selepas 5 jam bertapa di bengkel kereta. Tauke yang obses dengan CoC di bengkel tersebut memutuskan bahawa kereta perlukan masa 3 hari untuk sembuh. Kami membuat keputusan perlu mencari jalan untuk melepaskan diri dari pekan yang gersang itu. Hanya bagasi-bagasi yang penting di angkut bersama.



Kami menumpang motokar Honda pekerja bengkel tersebut dan menuju ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Tanjung Malim. Kami menempah tiket KTM arah KL-Hatyai. Tren kami akan tiba jam 11.47  pm. Ruang masa 4 jam dihabiskan di stesen yang sunyi itu. Malam yang sunyi bagi aku walaupun dikejutkan dengan desiran bunga-bunga api disebabkan waktu itu masih berlangsung perayaan Tahun Baru Cina. Malam yang syahdu dan suram sambil melayari jalan-jalan sunyi beratapkan langit hitam bercahayakan bintang-bintang comel di angkasa sewaktu menuju ke sebuah gerai kecil di seberang jalan untuk mencari beberapa suap nutrien-nutrien untuk dihadam.

 


Ketibaan tren kami ditunda ke jam 12 am. Sebaik memasuki tren, kami terduduk bersandar lega di kerusi kusyen lembut. Setelah beberapa minit, suhu sekeliling makin dingin menusuk ke tulang belulang kami. Kesejukan yang melampau menyebabkan kami kaku dan kebas selama berjam-jam di dalam tren. Sekitar jam 5.30 am, tren tiba di perhentian Butterworth, Haslina telah selamat tiba. Kami bertiga meneruskan lagi saat-saat di dalam tren.

Perut mula berbunyi setelah hari barganti ke 22 Februari. Akibat kebosanan dan kesejukan kami mencari jalan untuk ke kafeteria tren. Kafeteria berada di bahagian kutub utara tren. Ramai penumpang yang terlena dibuai mimpi walaupun berada di dalam posisi ergonomik yang kurang selesa. Burger yang hanya berisi roti kosong dan daging serta milo panas berasap menjadi pengisi ruang usus kami. Solat subuh di atas tren satu pengalaman yang menarik sebagai seorang musafir.

Sinaran matahari kian menyinar di balik-balik tingkap tren. Satu kelegaan syukur ke hadrat Ilahi saujana mata memandang bumi jelapang padi. Sekitar jam 8.00 am, kini tiba masa aku dan Din untuk mengundurkan diri pulang ke sarang masing-masing di Alor Setar. Perasaan gembira bercampur sedih untuk meninggalkan pengembaraan yang penuh suka dan duka ini. Akhir sekali, Akmal menjadi orang terakhir antara kami berempat untuk turun tren,oleh sebab Akmal tinggal di Perlis.


Pengalaman ini mengajar kami berempat supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Ilahi, syukur diberi nikmat  iman, akal dan kesihatan yang baik. Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya :)

-Sayonara Duhai Memori-






Gift for newly wed couples